Melalui pemerhatian, penyelidik dapat mengamati sesuatu tingkah laku subjek berpandukan pemboleh ubah-pemboleh ubah yang telah dikenal pasti. Peranan penyelidik ialah sebagai pemerhati terhadap perubahan-perubahan tingkah laku, mendengar, serta melihat tingkah laku subjek sama ada dari jauh atau dari dekat. Menggunakan kaedah ini, penyelidik atau pemerhati perlu rnemerhati sampel-sampelnya dalam tempoh masa yang tententu. Kaedah pemerhatian ini banyak digunakan dalam bidang sains tulen yang menjalankan kajian dalam makmal sains dan bidang sains sosial. Biasanya ciri-ciri yang ingin diperhati adalah sangat halus dan terperinci dan ini menjadikan keputusan yang dibuat lebih tepat. Kaedah pemerhatian sesuai digunakan khususnya apabila penyelidik mengkaji perkembangan tingkah laku sesuatu unit sosial, misalnya mengkaji perkembangan tingkah laku kanak-kanak, kesan kesesakan terhadap kecenderungan pemberontakan, kesan kebisingan terhadap tingkah laku agresif dan kebimbangan di kalangan individu yang menghadiri temuduga.. Sebelum membuat pemerhatian, penyelidik perlu membuat perancangan yang baik dan teliti. Setiap pemerhatian mestilah mempunyai tujuan tertentu, dilakukan secara sistematik, mempunyai fokus, dan mestilah dicatatkan secara rapi dan betul. Catatan yang dibuat mestilah tepat, sah, dan boleh dipercayai.
Pemerhatian adalah satu kaedah memerhati, mencatat dan merekod peristiwa dan tingkahlaku dalam bidang yang dikaji.Walaupun penyelidik mengikuti tingkah laku subjek,pengkaji tidak mempengaruhi peserta kajian ke arah tingkah laku tertentu. Dengan penghayatan tersebut, pengkaji mempunyai persepsi yang benar mengenai maklumat yang dikumpul (Mohd. Majid 2000). Data yang diperolehi melalui pemerhatian dikenali sebagai nota lapangan dimana ia mengandungi maklumat terperinci mengenai apa yang diperhatikan. Berikut adalah contoh nota lapangan bagi pemerhatian yang dijalankan.
13 April 2012, Jumaat, 7.30 pagi
Pemerhatian
Komen Pemerhati
Terdapat 27 orang pelajar di dalam sebuah bilik darjah yang terdiri daripada 15 orang pelajar perempuan dan 12 orang pelajar lelaki.
Bilik darjah terletak di tingkat 1 bangunan sekolah.Keluasan bilik darjah sekitar 40 kaki x 30 kaki di bangunan sekolah yang berusia 10 tahun.Bilik darjah mempunyai perabut iaitu kerusi meja yang lengkap dan mencukupi serta tersusun kemas. Terdapat satu rak untuk meletakkan buku di sudut belakang bilik darjah. Keadaan di dalam bilik darjah adalah bersih dan juga dilengkapi dengan carta organisasi kelas dan carta-carta berkaitan subjek yang diambil. Dinding bilik darjah dicat dengan warna biru muda.
Didapati dua orang pelajar perempuan sedang menyapu sampah sementara 2 orang pelajar lelaki menyusun buku di rak buku di bahagian belakang bilik darjah. Sementara pelajar-pelajar lain berada di tempat masing-masing.
Seorang guru wanita memasuki kelas. Semua pelajar kembali dan berdiri tempat masing-masing. Seorang pelajar mengucapkan ‘selamat sejahtera’ kepada guru dan diikuti oleh pelajar-pelajar lain secara serentak.
Pelajar mengeluarkan buku teks masing-masing tanpa diarahkan oleh guru.
Pelajar tahu menjalankan tanggungjawab masing-masing
Pelajar mempunyai disiplin yang baik dan menghormati guru.
Pelajar tahu rutin sewaktu pengajaran dan pengajaran.
Pemerhatian Peserta.
Bermaksud pengkaji menjadi peserta di dalam konteks yang dikaji. Kaedah ini memerlukan masa yang panjang dari beberapa bulan hingga beberapa tahun kerana pengkaji perlu menyesuaikan diri sehingga menjadi sebahagian daripada konteks yang dikaji untuk memastikan pemerhatian yang dijalankan adalah berdasarkan fenomena yang semulajadi.
Pengkaji yang menjalankan kaedah pemerhatian peserta perlu sentiasa bersedia dan sanggup menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan yang tidak terkawal atau tidak dijangka. Tanggungjawab pengkaji dalam menjalankan pemerhatian peserta termasuk :
· Memerhatikan responden dalam aktiviti yang dijalankan yang mana dijangka aktiviti tersebut tetap dijalankan walaupun tanpa kehadiran pengkaji.
· Mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan dengan tujuan mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam melalui perspektif dalaman atau bagi mengelakkan daripada menarik perhatian .
· Berinteraksi dengan orang sekeliling secara semula jadi tanpa dipengaruhi atau terganggu dengan kajian yang dijalankan.
· Mengenalpasti dan membina hubungan dengan ‘key informants’
Terdapat beberapa jenis pemerhati bagi pemerhatian peserta iaitu ;
1. Pemerhati penuh.
Pengkaji merupakan pemerhati dan tidak mengambil bahagian aktif dalam aktiviti dibawah pemerhatian, statusnya sebagai pengkaji tidak diketahui oleh peserta dalam kajian.
2. Pemerhati sebagai peserta.
Pengkaji tidak mengambil bahagian aktif di dalam aktiviti di bawah pemerhatian tetapi statusnya diketahui oleh peserta.
3. Peserta sebagai pemerhati.
Pengkaji mengambil bahagian aktif sebagai peserta dalam aktiviti di bawah pemerhatian dan statusnya sebagai pengkaji diketahui peserta lain.
4. Peserta penuh.
Pengkaji berfungsi sebagai pemerhati dan aktif mengambil bahagian dalam aktiviti di bawah pemerhatian tetapi statusnya sebagai pengkaji tidak diketahui oleh peserta lain.
Kebaikan Pemerhatian Peserta.
· Aspek yang luar biasa atau tidak dijangka dapat diperhatikan.
· Pengkaji dapat memperolehi data tanpa limitasi atau gangguan dalam konteks sebenar atau semulajadi.
Kelemahan Pemerhatian Peserta
· Memerlukan masa yang panjang.
· Data perlu diingati oleh pemerhati kerana kesukaran untuk mencatat semasa mengambil bahagian.
Pemerhatian Sistematik
Pengkaji hanya memerhati tetapi tidak menjadi sebahagian daripada konteks yang dikaji. Dengan menggunakan kaedah ini pengkaji perlu lebih fokus .
Kebaikan Pemerhatian
1. Pemerhatian membolehkan pengkaji mengkaji sesuatu dalam keadaan semulajadi tanpa dipengaruhi
kehadiran pengkaji.
2. Data pemerhatian mengandungi maklumat yang lebih terperinci tentang sesuatu kumpulan atau situasi dan membolehkan pengkaji memahami dengan lebih mendalam terhadap sesuatu yang dikaji.
3. Membolehkan kajian dijalankan terhadap satu kumpulan manusia secara serentak dan membolehkan kajian terhadap interaksi sesama ahli kumpulan dikaji.
Subscribe to:
Posts (Atom)